SEPANJANG minggu lalu, boleh dikatakan jadual saya padat dengan pelbagai undangan bagi majlis bacaan Yassin dan solat hajat khusus bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Ini sekali gus membuktikan pelajar, khususnya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memasuki fasa ‘demam peperiksaan’.
Dalam kesibukan menjalankan tugas seharian, sempat juga saya menelefon beberapa sahabat imam muda (IM) lain seperti IM Nazrul dan IM Fakrul bagi bertanyakan khabar sekali gus memastikan hubungan silaturahim yang ‘tercipta’ dalam program Imam Muda Dua itu tidak terputus begitu saja.
Daripada perbualan bersama mereka, saya dapati mereka juga sibuk dengan undangan program yang hampir serupa.
Saya juga terharu kerana ada pelajar menghantar komen berunsur kecewa di laman facebook saya ‘Kelab Penyokong Imam Muda Hassan’ kerana tidak berpeluang mengikuti program bacaan Yassin dan solat hajat di bawah kendalian saya.
Oleh kerana ruangan masa terhad, jujur memang saya tidak mampu memenuhi pelbagai undangan sama ada di sekolah atau masjid bagi mengendalikan program seperti itu.
Justeru, coretan kali ini, saya tujukan khas untuk adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan tahun ini.
Secara amnya, saya menyokong mana-mana penganjuran program bacaan Yassin dan solat hajat untuk pelajar yang menduduki peperiksaan.
Sebaik-baiknya program seumpama ini hendaklah diperbanyakkan lagi supaya masjid dan surau sentiasa kekal dalam keadaan ‘Imarah’.
Bagaimanapun, saya terpanggil untuk mengutarakan beberapa perkara kurang molek yang mungkin boleh diperbaiki lagi bagi mendapat kualiti amalan terbaik.
Ini kerana, dalam satu program bacaan Yassin dan solat hajat yang saya hadiri, perkara paling nyata yang dapat dilihat apabila ada ibu bapa hanya datang menghantar anak di pintu pagar masjid dan kemudian terus pulang ke rumah.
Selesai program, macam biasa, ibu bapa datang kembali menjemput pulang anak mereka.
Sama seperti hantar anak pergi tuisyen, mereka tidak ikut serta dalam program dianjurkan. Mungkin bagi mereka, ini program anak, bukan program ibu bapa.
Sebenarnya, program bacaan Yassin dan solat hajat seperti dianjurkan itu bukan semata-mata untuk pelajar tetapi yang lebih penting ialah pembabitan ibu bapa pelajar.
Ibu bapa sepatutnya bijak mengambil ruang dan peluang memanfaatkan program seperti ini untuk mengeratkan hubungan anak beranak.
Mereka sepatutnya sedar mengenai peranan mereka dan sesungguhnya doa daripada ibu bapa lebih afdal dan lebih mustajab di sisi Allah SWT.
Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah yang menegaskan, tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan (oleh Allah) iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.
Saya masih ingat sewaktu belajar dulu, tatkala tiba ambang peperiksaan, saya cuba sedaya upaya untuk pulang ke kampung berjumpa ibu.
Saya minta ibu doakan kesihatan fizikal dan ketenangan diri saya sepanjang menghadapi peperiksaan dan lazimnya ibu berpuasa sunat sebagai usaha dan tanda sokongannya kepada saya.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat ibu yang benar-benar kasih dan mengambil berat mengenai diri saya.
Di sudut lain pula, saya selalu lihat adik-adik yakni pelajar yang hadir ke program itu berebut-rebut mengambil botol air yang dibacakan Yassin. Ada juga ibu bapa yang datang membawa beberapa bekas dan botol air besar sebagai tambahan untuk dibacakan Yassin.
Air ini selalunya dirujuk sebagai air penerang hati. Bagi minum kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan supaya hati mereka terang dan senang jawab kertas soalan.
Namun, adakah ini betul? Benar, air sering digunakan sebagai medium perubatan, begitu juga dalam amalan perubatan Islam. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim, 5882) Ia jelas kepada kita bahawa amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam selagi mana menggunakan bacaan ayat suci al-Quran sebagaimana dinyatakan Allah dalam firman-Nya menerusi surah Al-Isra ayat 82 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.” Kajian saintifik profesor Universiti Yokohama, Jepun, Dr Masaru Emoto menghuraikan hasil kajian menakjubkan apabila molekul air yang dibacakan ayat suci al-Quran akan membentuk seperti berlian berkilauan cantik bercahaya berbanding air biasa.
Justeru, air yang memiliki sifat molekul baik ini jika diminum akan bercampur dengan kandungan air dalam badan kita (badan manusia mengandungi di antara 55 hingga 75 peratus air) dan dengan izin Allah mampu memberi kesan positif kepada mereka yang meminumnya.
Namun, sekali lagi saya ingin menegaskan kepada adik-adik, meminum air penerang hati ini, tetapi belajar ala kadar saja, ia bukan faktor penentu kejayaan.
Minum air penerang hati hanya sebagai ikhtiar untuk berjaya tetapi perkara paling utama adalah, kita tetap kena tekun membuat latihan dan mengulang kaji pelajaran untuk cemerlang dalam peperiksaan.
Ingat, kehadiran saya sebagai Imam Muda bagi menjayakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat hanya sebagai daya penarik atau ‘catalyst’ yang diharapkan mampu membakar semangat dan motivasi adik-adik.
Bukan disebabkan saya hadir mengimamkan solat dan doa yang saya bacakan membuatkan adik-adik lulus cemerlang.
Semuanya dengan izin Allah dan seperti saya katakan tadi, ia hanya satu daripada usaha untuk kita berjaya.
Paling penting, lakukan sesuatu dengan niat kerana Allah dan bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk, untuk membalas dendam atau sebagainya.
Baru-baru ini saya menerima e-mel daripada seorang pelajar yang bertanya mengenai pengalamannya melihat beberapa rakan suka melawan cakap orang tua, tidak menunaikan solat dan terbabit dengan pergaulan bebas, tetapi tetap berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.
Pelajar ini seakan-akan kecewa kerana selama ini dia bekerja keras menelaah dan mengulang kaji pelajaran serta taat dengan perintah agama, tetapi keputusan peperiksaannya tidak seperti diharapkan.
Dalam hal ini saya suka berpesan kepada adik-adik, jangan kita sesekali bersangka buruk kepada Allah. Ini kerana perkara begini selalunya dirujuk sebagai ‘Istidraj’.
Jadi, apa itu Istidraj? Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah kepada seseorang tetapi dengan tujuan mungkin Allah ingin membinasakannya. Selalunya mereka yang berjaya cemerlang tetapi ingkar dengan perintah Allah… hidup mereka tidak tenang dan tenteram.
Ilmu yang ada tidak memberi manfaat dan kebaikan dalam hidup mereka. Bahkan kebijaksanaan yang mereka dimiliki hanya merosak dan menyesatkan orang lain.
Akhir kalam, sentiasalah kita bermohon kepada-Nya ketika senang mahupun susah tanpa jemu. Bila doa kita akan dimakbulkan, bukan urusan kita. Itu urusan Allah.
Imam Al Qardawi pernah menyatakan hal ini iaitu: “Penerimaan Allah terhadap sesuatu doa ada syaratnya. Makbulnya doa ada jangkamasa dan ada waktunya tertentu. Allah SWT akan makbulkan doa orang pada waktu yang dikehendaki-Nya dan dengan cara yang dikehendaki-Nya.
No comments:
Post a Comment