ASSALAMUALAIKUM. Sebelum memulakan penulisan kali ini, saya berharap agar pembaca semua sentiasa dalam limpahan rahmat Allah SWT kerana sebagai orang beriman, jika rahmat Allah tidak diperoleh, nescaya hidup kita akan terumbang ambing tanpa pedoman.
Baru-baru ini, saya ke Bandung, Indonesia, bersama bonda tercinta, Arpah Mohd Noor, 60, serta adik, Nor Riyastaiin Yahaya, 24, selama tiga hari dua malam.
Percutian ini adalah salah satu daripada hadiah kemenangan yang saya terima sebagai pelajar terbaik mingguan sewaktu menyertai program Imam Muda musim kedua yang ditaja oleh Aerowana Travel.
Bagi saya, percutian yang saya ikuti itu amat mengajar saya banyak perkara dan bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’.
Ini kerana, sepanjang berada di Bandung, saya dapat merasai satu pemandangan, pengalaman yang luar biasa.
Perbezaan budaya kerja, bahasa, dan adat di sana banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan kerana masyarakat di sana mencari sesuap nasi dengan menggunakan pelbagai cara, sehinggakan ketika di persimpangan lampu isyarat pun masih boleh berniaga untuk mencari rezeki yang halal.
Saya berasa kagum dengan mereka kerana susah macam mana sekalipun, mereka tetap berusaha mencari rezeki, selaras dengan sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan umat Islam untuk berniaga walaupun secara kecil-kecilan.
Pembaca sekalian, kita biasa mendengar bahawa sembilan daripada sepuluh sumber rezeki datangnya daripada perniagaan. Tetapi tahukah kita satu kajian menunjukkan asas daripada hadis ini adalah berdasarkan fakta sembilan daripada sepuluh sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga. Sahabat baginda adalah usahawan yang bergelar jutawan di mana Abdul Rahman bin Auf menduduki tangga teratas dengan jumlah kekayaan yang ditaksirkan sebanyak 12.8 bilion Dinar emas pada zamannya.
Ini adalah hasil kajian yang dibuat oleh University of Tokyo, Jepun. Kajian yang dibuat oleh para saintis yang bukan Islam sebenarnya telah membantu kita umat Islam dalam memahami agama Islam itu sendiri. Persoalannya, bagaimana seorang usahawan dan hartawan seperti Abdul Rahman bin Auf boleh dijamin syurga? Apakah rahsia di sebalik kejayaan beliau sebagai hamba Allah yang bertakwa, dan dalam masa yang sama sebagai seorang usahawan berjaya? Jika dikupas riwayat hidupnya, Abdul Rahman bin Auf dilahirkan pada tahun ke-10 selepas tahun gajah, wafat pada tahun 31 hijrah dalam usia 73 tahun dan dimakamkan di Baqi. Abdul Rahman bin Auf juga adalah orang kelapan memeluk Islam selain tidak pernah ketinggalan dalam peperangan yang diketuai oleh baginda Rasulullah SAW.
Mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, seorang yang zuhud dan dermawan, beliau asalnya hidup dalam kesusahan. Namun pengalaman membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi membentuk karisma seorang pemimpin yang berkualiti.
Selain itu juga, beliau juga adalah salah seorang dari enam anggota mesyuarat untuk memilih khalifah selepas wafatnya Khalifah Umar al-Khattab selain terkenal sebagai ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah.
Sepanjang kehidupannya, beliau suka berdikari dan tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan terhadap kesenangan orang lain. Prinsip hidupnya mudah iaitu memulakan perniagaan daripada bawah sebagaimana diajar Rasulullah SAW bagi sesebuah masyarakat untuk membina tamadun yang cemerlang.
Ini dijelaskan Rasulullah SAW menerusi sabdanya dalam hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: "Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan daripada hasil usahanya sendiri." Lantaran itu juga, jika diimbas kejayaan Abdul Rahman bin Auf, sememangnya langkah pertama pembabitannya dalam perniagaan bermula dari tempat yang tidak asing kepada umum iaitu di pasar.
Kejayaan cemerlang yang diperoleh oleh sahabat Rasulullah SAW ini langsung tidak menjadikannya lupa daratan mahupun menyeleweng daripada ‘Manhaj Rabbani’ (Al-quran dan hadis Rasulullah SAW).
Dengan kekayaan yang dimilikinya, beliau gunakan pada jalan serta perjuangan agama dan ummah sekali gus dijamin oleh Rasulullah SAW sebagai ahli syurga.
Abu Nuaim menerusi kitab Al Hilyah menyatakan bahawa Abdul Rahman bin Auf telah bersedekah di zaman Rasulullah SAW setengah daripada hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudian mengeluarkan lagi sejumlah 40 Ribu Dirham, 500 ekor kuda dan 1500 ekor unta miliknya bagi membiayai perjuangan Islam.
Ini jelas membuktikan bahawa beliau seorang pejuang agama yang hebat kerana sanggup membelanjakan hartanya demi kepentingan agama serta ummah dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
Ketokohannya patut dicontohi para usahawan khususnya di negara kita agar sentiasa berbakti kepada agama yang kita cintai ini.
Kita perlu berwaspada dengan kehidupan di dunia kerana dunia selalu menipu kita. Bila semakin senang dengan kemewahan dunia, maka mulalah diri kita semakin jauh dengan Allah. Tanpa iman dan amal, nescaya kita akan hanyut dibawa arus dunia yang menipu. Jadi, renungilah ungkapan ulama sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani yang menyatakan bahawa: “Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji.” Sedarilah bahawa Islam memang tidak melarang umatnya untuk mencari harta serta kekayaan, namun janganlah kita meletakkan dunia dan harta kebendaan di dalam hati, kerana akhiratlah yang paling utama.
Jika kita ingin mencari kekayaan sekalipun, Islam sendiri sudah mengajar serta menjelaskan kaedahnya yang betul sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah Al-Jumuah, ayat 10, yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (untung di dunia dan di akhirat)." Inilah sedikit sebanyak maklumat dan pengalaman yang boleh saya boleh kongsi pada kali ini. Mudah-mudahan ada manfaatnya untuk diri saya sendiri dan untuk kita semua.
No comments:
Post a Comment