Thursday, March 1, 2012

Teknologi wadah kebaikan

SEJAK menulis bagi ruangan Kalam Imam Muda Metro Ahad minggu lalu, saya menerima banyak maklum balas serta komen daripada pembaca sama ada menerusi e-mel mahupun laman sosial Facebook.
Saya kira ini permulaan baik dan insya-Allah, setiap pandangan akan diambil perhatian bagi memperbaiki diri dan berkongsi ilmu serta pandangan untuk kebaikan bersama.

Sebenarnya, saya tidak menyangka program Imam Muda yang saya sertai itu menghasilkan gelombang besar di kalangan masyarakat di Malaysia serta negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
Saya kira, masyarakat dapat menerima dan mengiktiraf kehadiran kami dalam dunia dakwah yakni satu perkembangan sihat, di mana masyarakat mampu menerima pandangan orang lain.

Hari ini, ke mana saja saya berada orang akan datang bersalaman, berbual dan bergambar bersama. Semacam ada mata mengekori setiap langkah dan gerak-geri saya.

Satu pengalaman yang tidak pernah dialami sebelum ini walaupun kadangkala terasa rimas, tetapi itulah hakikatnya sama ada suka atau tidak, saya kena harungi.
Ibu saya banyak memberi nasihat dan sokongan kepada saya pada waktu ini. Dia faham kini kehidupan saya menjadi milik bersama masyarakat.

Jujur, saya tidak pernah berasa popular tetapi kuasa media membuatkan masyarakat mengangkat diri saya menjadi selebriti.
Sekarang baru saya merasai kuasa media dan impaknya kepada masyarakat. Memang tidak dapat disangkal televisyen, Internet dan telefon bimbit antara rangkaian teknologi yang sangat berkuasa menghantar dan menyebarkan maklumat pada masa kini.

Maklumat dihantar dan diterima datang dalam pelbagai format seperti teks, audio mahu pun video. Dan teknologi ini memang hebat.

Lebih hebat, semua aktiviti boleh diakses melalui telefon bimbit saja. Tekan apa yang kita mahu dan segala maklumat akan terpapar di skrin telefon bimbit seperti mana frasa ‘maklumat di hujung jari’. Mudah betul.

Selain itu, saya perhatikan masyarakat masa kini, khususnya remaja, gemar mengakses dan menggunakan peralatan dan aplikasi terkini hasil janaan teknologi komputer hinggakan ia menjadi gaya hidup mereka.

Golongan ini suka berkongsi aktiviti secara maya dan berkumpulan dengan asas minat sama. Platform paling popular rangkaian sosial Facebook dan Twitter.

Saya tidak terkecuali menggunakan platform Facebook sebagai medan mengumpul komuniti maya iaitu ‘Kelab Penyokong Imam Muda Hassan’.

Hingga kini, jumlah pengikut saya mencecah 14,315 ahli sejak ia ditubuhkan (bermula pada minggu pertama Imam Muda).

Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang menyertai kelab Facebook saya dan sentiasa menyokong saya dalam program Imam Muda.

Walaupun tiada markah penyokong dalam program itu, usaha itu sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat saya untuk terus bersama masyarakat menjalankan usaha dakwah.

Bagaimanapun, saya suka mengingatkan diri saya dan pembaca bahawa penggunaan teknologi seperti ini ibarat kita menggunakan pisau.

Kita boleh gunakan pisau untuk memotong sayur di dapur atau sebagai senjata untuk mencederakan dan membunuh, terpulang kepada cara kita. Ini saya kira sama seperti penggunaan Facebook dan Twitter.

Rangkaian sosial seperti Facebook menjadi kegilaan masyarakat hari ini. Oleh itu saya tidak terkejut dengan fakta Malaysia antara negara yang mempunyai bilangan pengguna tertinggi rangkaian sosial itu.

Setiap individu boleh mengemaskini, muat turun atau menghantar sebarang maklumat dan memberi komen secara terbuka.

Persoalannya, adakah semua maklumat dikongsi itu boleh diguna pakai. Ada yang dikatakan sahih tetapi belum tentu benar-benar sahih dan begitulah sebaliknya hinggakan sukar untuk kita pastikan kesahihannya.

Namun, semua ini sebenarnya memerlukan kebijaksanaan yang dianugerahkan Allah kepada kita untuk menilai sewajarnya.

Justeru, bagi pengguna rangkaian sosial, hendaklah sentiasa ingat ketika memberi komen kerana ia boleh membuka ruang fitnah dan mencemar maruah atau nama baik diri sendiri dan lebih teruk, kepada orang lain.

Begitu juga apabila menerima sesuatu berita. Jangan menerima apa saja bulat-bulat tanpa usul periksa.

Hal ini dinyatakan jelas dalam surah Al-Hujarat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, selidiki kebenarannya supaya kamu tidak menyampaikan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” Saya bimbang dalam keasyikan kita ‘ber-facebook’, tanpa disedari kita memanjangkan sesuatu berita atau maklumat tanpa dibuktikan kesahihannya.

Akhirnya kita tergolong dalam orang menyebar fitnah. Begitu juga komen terbuka yang boleh memercik api permusuhan sesama kita.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujarat, ayat 12, bahawasanya: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah kamu mengumpat yang lain.

“Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? Sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha penerima taubat dan Maha penyayang.” Tiga khalifah Islam iaitu Khalifah Umar ibnu Khattab RA, Khalifah Othman bin Affan RA dan Khalifah Ali bin Abi Thalib RA terkorban kerana penangan fitnah.

Allah SWT meletakkan dosa fitnah lebih besar daripada membunuh (manusia yang tak bersalah), menerusi firmanNya bermaksud: “Berbuat fitnah lebih besar dosa daripada membunuh.” (Surah Al-Baqarah, ayat 217).

Sama-samalah kita gunakan manfaat teknologi sebagai alat bantu untuk kebaikan diri kita dan insan lain.

No comments:

Post a Comment