Friday, March 2, 2012

Usah ambil hak orang

BAGI mengingatkan umat Islam mengenai hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)
Imam ibn Al-Arabi menegaskan, ini adalah satu daripada kaedah utama dalam muamalat Islam dan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ dalam ayat itu ialah penerimaan pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ sebagai perumpamaan saja. 
Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi: “Apa saja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat (buat Islam).”

Imam Al-Qurtubi pula memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak orang lain yang sebenar, mengambil hak orang lain tanpa direstuinya, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi serta yang memang jelas menyalahi hukum Islam adalah tergolong dalam makanan harta secara batil.

Ini sebagaimana dinyatakan beliau: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, dia makan secara batil.”

Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘batil’ kepada apa saja bentuk bayaran yang tidak mempunyai nilai timbal balik pada pandangan syarak yang sebenar.

Begitupun, mungkin ada yang akan bertanya mengenai hukum terhadap hak ke atas harta yang dimenangi membabitkan proses kehakiman di mahkamah dengan alasan harta berkenaan disahkan oleh hakim.

Mengenai hal ini, Imam Al-Qurtubi menjelaskan: “Barang siapa memakan secara batil, walaupun jika seorang hakim memutuskan kemenangan kepadamu, sedang kamu sesungguhnya tahu kamu (hakikatnya) bersalah (menipu), yang haram tidak akan sesekali menjadi halal dengan keputusan hakim itu, dia hanya memberikan hukum berdasarkan zahir dan bukti, dan inilah (hukum yang) ijma.” (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/338)

Pandangan ini jelas sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku hanya manusia dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah dari sebahagian lainnya, lalu aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar saja.

“Barang siapa yang ku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi)

Kesimpulannya, umat Islam perlu mengambil berat mengenai perihal pendapatan mereka kerana dibimbangi mereka lupa mengenai objektif dalam mendapatkan harta serta pendapatan secara halal sehingga menganiaya pihak lain.

Secara ringkasnya, setiap kita perlu mengelak terbabit dalam mengambil hak orang lain (batil) seperti:
  • Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat dan makanan yang tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai aib tapi disembunyikan. 

  • Mendapatkan pendapatan daripada upah menjampi yang bercanggah dengan Islam. 

  • Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu karut dan meragukan seperti sandaran ramal masa depan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras dan yang sepertinya. 

  • Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai merit tinggi dan baik. 

  • Mengambil upah hiburan (entertainment cost) daripada syarikat sebagai pra syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik. 

  • Sengaja berhutang dengan niat untuk tidak membayar semula dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri daripada pembayaran semula hutangnya walau dalam keadaan mampu. 

  • Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi menerima wang zakat. Mereka juga ialah pemakan harta secara batil. 

  • Individu yang mengambil dan menikmati harta wakaf secara peribadi dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan termasuk dalam harta batil. 

  • Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu. 

  • Hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’ oleh Nabi SAW. 

  • Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel, kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan. Keuntungan yang diperoleh hasil daripada kerja ‘seni’ yang merosakkan jatidiri kemanusiaan. 

  • Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa orang lain.

    Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Ibnu Abbas RA mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”
  • Berubah ikut keadaan

    MINGGU lalu, diterangkan mengenai perihal fiqh muamalat yang lazimnya dikaitkan dengan urusan kewangan sedangkan ia sebenarnya membabitkan setiap urusan dilakukan manusia.
    Urusan itu termasuk politik (siasah), pentadbiran, nikah kahwin (munakahat) dakwah dan akhlak serta jenayah.

    Melalui penulisan itu juga, dikupas fiqh muamalat sebenarnya merujuk kepada dua perkara iaitu amalan (ibadah) yang baik untuk agama dan hal adat yang diperlukan manusia dalam melakukan urusan dunia.
    Setiap urusan itu mestilah berdasarkan dalil (al-Quran dan hadis) yang semestinya dilakukan atas niat kepada Allah SWT.

    Hukum fiqh muamalat juga dikatakan berubah berdasarkan faktor masa dan tempat berikutan ada antaranya masih sesuai digunakan dan ada pula yang terpaksa diubah suai asalkan tidak mengubah niat asalnya yang memberi kebaikan kepada manusia dan sebagai satu urusan yang diredai Allah SWT.

    Menyentuh mengenai isu ini, boleh dilihat menerusi ijtihad Umar ak-Khattab RA yang tidak membahagikan tanah di Iraq sewaktu perang ke atas negara berkenaan, sebaliknya membiarkannya kekal di tangan penduduk asal di sana asalkan mereka membayar cukai tanah (kharaj) yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan umat Islam.
    Tindakan Umar tidak dipersetujui sahabatnya yang berasakan tanah berkenaan patut dibahagi-bahagikan, selaras dengan Surah al-Anfaa, ayat 41 bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak yatim, orang miskin dan ibnusabil (orang yang memerlukan bantuan).” Umar diriwayatkan berkata: “Jika tidak disebabkan kebaikan generasi terkemudian Islam, nescaya akan aku bahagikan tanah-tanah ini sebagaimana Nabi membahagikan tanah Khaybar.” (Al-Mughni, Ibn Qudamah) Secara nyatanya, walaupun berbeza, tetapi mempunyai sasaran dan objektif maqasid sama iaitu mencapai keadilan bagi masyarakat walaupun terpaksa mengetepikan hak individu.

    Ini kerana, seperti diketahui, sasarannya adalah maslahat umum dan bukan maslahat individu.
    Inilah tanda keputusan maslahat bersifat politik dan pentadbiran yang tidak terhad kepada sesuatu urusan tertentu yang dilakukan Rasulullah SAW tetapi hanya terhad kepada inti dan objektif.

    Ia sama seperti tindakan Rasulullah SAW menolak permintaan sahabat untuk melaksanakan batasan harga jualan (Tas’ir) supaya peniaga tidak boleh menaikkan harga.

    Berdasarkan riwayat Abu Daud yang menjelaskan bahawa baginda bersabda: “Bahkan, Allah yang menurun dan menaikkannya dan sesungguhnya aku berharap untuk bertemu Allah dan tiada sesiapa yang menuntut dariku kerana dizalimi dari sudut harta dan juga jiwa.” Bagaimanapun, beberapa ulama selepas zaman Rasulullah SAW bersetuju melaksanakan batasan harga jualan (tas’ir) berkenaan sebagai langkah menghalang peniaga menyekat barangan mereka dan menjaga maslahat umum.

    Ini kerana, jika tidak dilakukan, peniaga bebas menyekat barangan mereka bagi memaksa harga barangan naik kerana permintaan tinggi, sekali gus menzalimi hak umum.

    Sheikh Prof Dr Fathi Al-Durayni menjelaskan, tas’ir itu diterima ulama mujtahidin tabien bagi mencapai maqasid atau objektif yang disasarkan Nabi SAW ketika baginda menolak tas’ir, iaitu baginda menolak kerana tidak mahu berlaku kezaliman kepada pengguna dan peniaga.

    Ulama tabien pula membenarkan tas’ir kerana berubahnya suasana dan keperluan ketika zaman mereka, lalu mereka menerima tasi’r. Jelas daripada isu ini, objektif adalah sama, cuma bentuknya berbeza.

    Dalam konteks dakwah pula, fiqh muamalat sudah sepertinya membawa manusia kepada kebaikan seperti digariskan dalam al-Quran serta hadis dan melarang manusia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

    Jika dilihat situasi dulu dan masa kini, corak fiqh muamalat dakwah ini sememangnya mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

    Dulu, tanpa teknologi moden, corak dakwah adalah secara langsung, berdepan- depan, namun kini, ia boleh disampaikan menerusi peralatan seperti televisyen, radio, kaset, cakera padat atau Internet.

    Semua cara ini adalah harus dan dibenarkan selagi asasnya diikuti dengan sasaran objektif bagi menyampaikan kebaikan kepada masyarakat.

    Ini yang perlu difahami oleh kita bahawa, tidak semestinya wajib mengikut bulat-bulat cara digunakan Rasulullah SAW kerana tindakan itu boleh berubah mengikut faktor waktu.

    Kita boleh menggunakan faktor baru sedia ada asalkan tahu ia tidak menyalahi syarat serta objektif yang menjurus kepada kebaikan serta dilakukan atas niat kerana Allah SWT.

    Jangan pula nanti ada yang ‘berfatwa’ hanya boleh menaiki unta dan kuda ketika dakwah kerana itu yang dilakukan oleh baginda nabi dan sahabat. Fatwa sebegini tidak disebut oleh mana-mana ulama muktabar.

    Hasilnya, hendaklah kita fahami mana inti yang perlu diikuti (thawabit), dan mana pula bentuk yang bersifat mutaghayyirat dan anjal (fleksibel).

    Kesimpulannya, hukum ghalib dalam kes muamalat dan penentuan hukum dalam isu baru dalam bab muamalat dan adat adalah merujuk kepada objektif.

    Selagi mana tidak bertembung secara ‘qat’ie dan ijma’ dengan mana-mana hukum syariah, ia adalah diharuskan.

    Seperti berdakwah menggunakan muzik, kartun lukisan dan sebagainya, ia adalah bab muamalat.

    Perlu diketahui, muamalat tidak hanya terhad kepada urusan kewangan tetapi juga seluruh urusan yang membabitkan hubungan manusia dengan manusia lain.

    Cara dakwah, politik, teknik teguran kepada rakyat yang melakukan kesalahan atau pemerintah yang melakukan kezaliman, boleh berubah menurut keperluan zaman dan setempat.

    Ia adalah isu muamalat yang hanya terikat untuk mencapai intinya selagi teknik adalah neutral dan bukan fiqh ibadah yang sangat terikat kepada dalil khusus atau nas.

    Namun, perlu diingati, sesuatu teknik mungkin disangkal oleh sebilangan ulama pada sesuatu zaman dan disokong pula oleh sebahagian ulama lain.

    Kedua-duanya berdasarkan proses timbang tara maslahat dan mudarat serta hasil ijtihad. Jadi, tidak wajar kita mengutuk, melabel dan memperlekehkan mana-mana ijtihad yang dikeluarkan oleh ilmuan berkelayakan.

    Harta melalaikan insan

    MENGUMPUL dan memperbanyakkan harta, pangkat, kuasa dan pengaruh adalah salah satu sifat biasa manusia.
    Kita sukakan harta disebabkan manfaat segera yang boleh dinikmati darinya sama ada harta tersebut dalam bentuk wang tunai atau juga aset seperti kenderaan, tanah, rumah, saham dan sebagainya.
    Dalam pada itu, terlalu ramai manusia yang menjadikan harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehidupannya.

    Mungkin pada asalnya niat berkerja dan berusaha adalah untuk mencari kehidupan lebih berkualiti, namun dalam proses pencarian itu, ramai juga yang terpesona dengan kenikmatan segera dari harta ini, lantaran itu kehidupan mula berubah seiring dengan perbuatan mereka.

    Harta yang dicari itu bukan lagi untuk membina kehidupan lebih baik dan berkualiti, sebaliknya untuk ditunjukkan secara bermegah-megah dengannya.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Memperbanyakkan (harta) dan bermegah-megah dengannya itu sesungguhnya telah melalaikan kamu, sehinggalah nanti kamu sampai ke kubur. (At-Takathur, 1-2)

    Kelalaian itu hingga membawa manusia mencari harta walau dengan apa cara sekalipun, sehingga ramai yang tanpa merasa bersalah atau tanpa mengendahkan perasaan orang lain, mengambil hak yang bukan miliknya yang sah dan diiktiraf oleh hukum Islam.

    Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengasihi saudara kita sama seperti kita mengasihi diri kita.

    Ini kita boleh lihat kepada situasi buruk yang berlaku kepada diri serta keluarga sendiri yang pastinya tidak disukai dan tidak diingini.

    Jadi, perlu kita ketahui, apa yang kita bencikan itu pastinya turut tidak diingini oleh orang lain dan amatlah tidak wajar jika mereka diperlakukan sedemikian.

    Ada beberapa soalan yang saya terima antaranya berbunyi:

    1. “Ustaz bolehkah kita ubah jumlah kos tuntutan kerana kita layak tetapi kita tidak menggunakannya, justeru kita buat resit sendiri.

    2. “Sebagai kakitangan syarikat, apa pandangan ustaz jika kita ambil serba sedikit kemudahan syarikat untuk faedah kita seperti fotostat, telefon dan sebagainya, boleh tak ustaz?

    Saya kira, soalan ini diketahui jawapannya oleh diri mereka sendiri, namun oleh kerana nafsu terhadap harta itu tadi, mindanya juga cuba mencari jalan untuk 'mengharuskan' perbuatan berkenaan.

    Paling mudah sebenarnya, kita perlu letakkan diri kita dalam situasi ini, iaitu sebagai majikan dan bukan pekerja.

    Sebagai majikan, adakah kita suka melihat kakitangan kita melakukan perkara sedemikian terhadap harta syarikat? Sudah tentulah jawapannya tidak.

    Oleh itu, sebagai pekerja patut atau tidak kita melakukan perkara sedemikian iaitu dengan mengenepikan antara yang hak dan yang batil? Adakah harta berkenaan tergolong dalam hak kita atau sebaliknya dalam kategori harta yang batil (bukan hak).

    Begitu juga dalam banyak hadis nabi yang kerap mengajar kita untuk meletakkan diri dalam situasi seseorang yang ingin kita jadikan mangsanya.

    Syeikh Rashid Ridha menegaskan bahawa: “Penghormatan harta yang dimiliki oleh orang lain itu sebenarnya adalah penghormatan kepada harta sendiri. (Tafsir Al-Manar, 2/195)

    Justeru, jelas di sini, masyarakat yang mempunyai kepimpinan yang berjaya serta bertamadun adalah masyarakat yang mampu membentuk penghuninya supaya sentiasa seiring antara satu sama lain. Saling bantu membantu tanpa ada yang menindas serta mengambil harta orang lain secara salah.

    Malah, apabila adanya kesedaran ini, secara tidak langsung ia mampu mengurangkan rasuah, rompakan serta kecurian dan riba.

    Tetapi, selagi kepimpinan hanya meletakkan sasaran kemajuan yang ditakrifkan sebagai kekayaan harta dan material sebagai ‘standard’ atau kayu ukur kejayaan dengan mengabaikan tugas utama untuk memulih dan membersihkan jiwa dan hati rakyat, selagi itulah pertambahan manusia rakus akan sentiasa seiringan dengan pembangunan material.

    Tatkala itu pembangunan material itu akan naik bersama sekumpulan manusia rakus yang memonopoli dan mengambil keuntungan dari pembangunan itu tanpa dapat dikongsi oleh masyarakat.

    Apabila ini berlaku, pastinya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin papa kedana.

    Disebabkan itu juga Allah SWT berfirman: “...supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu.” (Al-Hasyr, 7)

    Rasulullah SAW juga pernah bersabda, bahawasanya: “Tiadalah seorang hamba yang diberikan oleh Allah tanggungjawab kepimpinan, lalu dia tidak menasihati rakyatnya, kecuali tiadalah akan diperolehi bau syurga (sekalipun). (Riwayat Al-Bukhari)

    Jelas di sini, apabila hukum dalam pentadbiran kuasa, ekonomi, perniagaan dan kontrak pertukaran hak pemilikan ini tidak diberikan perhatian wajar, maka akan menjalar gejala negatif dikalangan masyarakat dan meningkatkan lagi pelbagai masalah yang lain.

    Gabungan pengajian

    MINGGU lalu, diterangkan bagaimana wujudnya perbezaan pendapat di kalangan ahli agama serta ulama berikutan perbezaan fahaman yang mereka pelajari sewaktu menuntut ilmu.
    Bukan setakat itu saja, ada antara mereka tidak ketinggalan mengutuk dan memperrendahkan martabat sesama sendiri dengan mengatakan mereka lebih hebat dan pandai dalam bidang agama hingga akhirnya mewujudkan dinding sempadan antara ahli agama. 
    Hal sebegitu turut berlaku di negara kita apabila ada penuntut terikut-ikut fahaman mereka hingga sama-sama memperrendahkan martabat dan enggan mendengar pendapat orang lain dengan alasan belajar di luar negara dan guru berbangsa Arab.

    Sebenarnya, jika kita ingin melahirkan ilmuan Islam, setiap ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan perlu merancang mewujudkan satu proses pengajian menerusi fahaman yang pelbagai.

    Proses saringan pelajar pintar, rajin dan cerdas, yakni yang memang menjurus dalam bidang agama, perlu dilakukan daripada peringkat sekolah rendah lagi.

    Ini seperti menggabungkan beberapa fasa pengajian berbeza, terutama untuk pelajar yang menyerlah dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mahupun Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

    Contoh langkah terbaik ialah dengan mewujudkan Diploma tahfiz di Darul Quran atau mana- mana pusat tahfiz terbaik, seterusnya menghantar mereka melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda (BA).

    Secara peribadi, saya berpendapat jika ingin menghantar bagi peringkat BA, tempat terbaik adalah di mana-mana universiti di Jordan.

    Ini kerana kebanyakan pensyarah di Jordan adalah gabungan tenaga pengajar yang memiliki Doktor Falsafah (PhD) dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan beberapa negara Islam lain.

    Kepelbagaian latar belakang pensyarah ini akan membantu melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran.

    Ini ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa Arab ‘fushah’ yang sederhana.

    Selain pengajian di universiti, perlu ada ‘mentor’ yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian ‘talaqqi’ dengan ulama atau cendekiawan di Jordan, khususnya di Amman.

    Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk menghabiskan cuti semester dengan pengajian ‘talaqqi’ di Syria dengan tenaga pengajar yang terkenal hebat dalam bidang agama.

    Hasilnya, dengan gabungan ini kita berharap setiap pelajar dapat menamatkan pelajaran mereka dalam dua gabungan pengajian berbeza, sekali gus memperoleh kekuatan bahasa Arab dan asas utuh dalam ilmu Syariah, Fiqh atau Usuluddin.

    Selain itu, perlu mewujudkan peluang pengajian di peringkat Sarjana (MA) menerusi pengajian di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah.

    Ini perlu kerana ia dilihat sebagai kelebihan yang terbaik, terutama kerana Mesir adalah pusat ilmu Islam sangat berpengaruh di dunia.

    Namun, pada masa sama, adalah sebaik-baiknya jika pelajar turut diberikan sokongan serta nasihat supaya menghadiri pengajian di Darul Ifta, Mesir.

    Dengan gabungan ini, diharapkan pelajar dapat memantapkan ilmu dalam diri menerusi dua pengajian berbeza yang pastinya berbeza antara satu sama lain.

    Seterusnya ialah merangka pelan pengajian supaya mereka dapat melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.

    Ini perlu kerana halangan di kalangan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ini adalah Universiti Islam Madinah dan Makkah payah menerima graduan BA atau MA dari pusat pengajian atau universiti lain.

    Oleh itu, sesuatu usaha perlu dilakukan bagi membolehkan pelajar ini memasuki universiti berkenaan dengan harapan, iaitu kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan serta diperluaskan pula dengan pengajian di tanah suci ini.

    Di samping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika wujud ‘mentor’ yang mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu daripada cara talaqqi.

    Pada musim cuti, sebaik-baiknya jangan diizinkan pelajar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, sebaliknya perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru di sana pula.

    Hasilnya, apabila tamat belajar, diharapkan gabungan pengajian daripada pelbagai pusat pengajian membolehkan pelajar sedikit sebanyak memiliki gabungan ilmu untuk menerima pandangan pihak lain dan mampu memberi pandangan lebih bernas dan berfikiran terbuka.

    Dengan ini, mungkin kita mampu menghasilkan seorang ilmuan Islam yang berwibawa, dihormati serta mampu memberikan pendapat bernas hasil gabungan ilmu yang diperoleh daripada percampuran pelbagai mazhab itu tadi.

    Selain itu, mungkin kita boleh merangka bentuk pengajian lain apabila pelajar ini kelak mampu menggenggam PhD dengan menghantar mereka menghadiri kuliah Darul Ulum di Pakistan bagi mendalami ilmu hadis.

    Mungkin, pada masa sama, setiap pelajar yang terpilih boleh dihantar pula menghadiri pengajian di negara lain seperti United Kingdom kerana ini boleh membantu mereka melihat dunia dalam konteks berbeza berbanding di negara Arab.

    Ini sekali gus bukan saja membantu mereka menggarap metodologi Barat, sebaliknya mampu mengasah kefahaman bahasa Inggeris yang boleh digunakan untuk berdepan pelbagai pihak.

    Jika kita mampu melahirkan ilmuan melalui proses ini, tidak mustahil individu itu mampu meredakan pertengkaran aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih.

    Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di negara kita sukar ‘dineutralkan’ kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.

    Namun, tidak dinafikan, banyak cabaran merintang dan belum pasti menjernihkan keadaan, sebaliknya mungkin juga mengeruhkan lagi situasi sedia ada.

    Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran yang sedia wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’, justeru kita tidak terima dan sebagainya.

    Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pasti mampu serba sedikit merapatkan jurang yang wujud di kalangan graduan agama di negara kita.

    Kesimpulannya, kita memang memerlukan seorang cendekiawan Islam di negara kita yang bertaraf dunia kerana ini satu daripada caranya untuk merapatkan kembali perbezaan pendapat antara aliran sedia ada.

    Perkara ini memakan kos dan masa, namun hasilnya kita berharap akan menerbitkan ilmuan bertaraf tinggi, berfikiran terbuka, mampu menerima pendapat banyak pihak dan disegani seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi dan Sheikh Mufti Taqi Uthmani.

    Lahir ilmuan cemerlang

    MENGHADIRI pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha, Qatar, baru-baru ini memberi 1,001 macam kesan dan semangat buat diri saya, selain tercapai juga hasrat mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang lama tersimpan sebelum ini.
    Bermula dengan pertemuan itu, saya dapat mencungkil sedikit sebanyak maklumat mengenai tokoh ilmuan Islam berkenaan sejak kecil hinggalah dewasa. 
    Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam dipilih daripada kalangan pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi.

    Malah, sekian lama saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam, termasuk parti politik, supaya membuat perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama berwibawa di negara kita, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

    Sebaliknya, sering kita melihat ibu bapa menentukan arah dan hala tuju anak dalam profesion yang mereka (anak) kadangkala tidak idamkan.

    Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin jarang disalurkan menjadi ilmuan dan pemikir Islam yang hebat.

    Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dengan pengajian bersungguh- sungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi ilmuan Islam dan ‘daie’ terulung di dunia.

    Atas maklumat bagaimana Sheikh Al-Qaradawi menempuh perjalanan hidupnya, sekali gus membuatkan saya terfikir, kenapa tidak kita mampu melahirkan tokoh seperti ini.

    Jika kita ada anak yang terbukti menonjol dalam bidang ilmu agama, kenapa tidak dibentuk menjadi tokoh agama yang bukan saja terkenal di negara kita, malah di peringkat dunia.

    Proses ini memerlukan didikan awal ibu bapa yang sedia tahu bidang agama, atau jika tidak, ia lebih mudah disusun dan dirangka sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

    Saya teringat maklumat yang diberi seorang pelajar Melayu yang menjadi doktor di Ireland dan kini hampir menjadi pakar dalam bidangnya.

    Beliau mendedahkan, proses mencapai apa yang sudah dan sedang dicapai banyak bergantung kepada doktor pakar di Malaysia yang selalu menasihatinya.

    Proses ini menuntut beliau bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.
    Demikian juga proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan ulama bertaraf lima bintang di Malaysia. Kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan supaya pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

    Kita tidak mahu anak generasi masa kini tersalah pilih guru dan akhirnya, menjadi seorang yang ekstremis dan bersifat ‘pemecah’, bukan penyatu masyarakat.

    Namun, dalam melahirkan ilmuan Islam, harus juga kita ketahui aliran mana perlu dipilih kerana sebagaimana diketahui, kita ada beberapa mazhab berbeza dan pecahan aliran pemikir Islam.

    Oleh kerana wujudnya pecahan ini, masing-masing berasakan aliran mereka yang benar dan di jalan betul serta menafikan kebenaran pecahan aliran lain.

    Ini boleh dilihat menerusi aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras (digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.

    Selain perpecahan ini, kerap ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan mengagungkan guru mereka.

    Hingga satu tahap, mereka berasa ilmu dan kefahaman mereka lebih tinggi dan tiada siapa pun yang boleh mencapai tahap seperti mereka.

    Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujah sesama sendiri yang akhirnya mengabaikan akhlak mulia, seterusnya memperlihatkan diri mereka juga sebagai satu masalah pada mata masyarakat awam.

    Ditambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan, keadaan ini akhirnya menjadi bertambah buruk.

    Kumpulan masyarakat ini akhirnya sering terikut-ikut cara ‘pemalas’ lalu terikut kepada kebenaran hanya satu- satu kumpulan, selain cenderung mengikut saja apa yang dikatakan dan membenarkan kesalahan pada pihak lain.

    Jika seseorang individu sudah dilabel ‘tidak bersama kumpulan dan alirannya’, semua ilmu dari sebelah sana tidak boleh dibaca atau difikirkan sama sekali. Pandangan dan pemikiran kumpulan lain dilihat sebagai jahat dan di pihak salah.

    Padahal, kebenaran dalam hal ‘ijtihadiyyah’ itu boleh saja bercampur-campur di pelbagai pihak.

    Hanya Allah yang maha mengetahui setiap satunya serta kebenarannya, dan manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah.

    Namun, sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara, khususnya dalam hal cabang ‘fiqh’ dan lain-lain bidang agama.

    Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami supaya tidak menutup pintu kebenaran di pihak lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa juga topik keagamaan, selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan di dalam kategori ‘qat’ie’ atau ‘zhonni’.

    Menerusi situasi masa kini, sangat menyedihkan apabila melihat ada lulusan Timur Tengah memandang rendah lulusan tempatan, hanya kerana mereka belajar daripada guru berbangsa Arab yang dipercayai lebih hebat.

    Ada pula graduan universiti tempatan menafikan kebijaksanaan graduan Timur Tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik tetapi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu.

    setelah tidak mampu memperoleh biasiswa JPA atau kementerian disebabkan keputusan peperiksaan (Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) tidak melayakkan biasiswa diterima.

    Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat.

    Lulusan Mesir pula, ada sebahagian memandang rendah lulusan Jordan, Maghribi, Syria dan lainnya, maklumlah mereka berasa diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun lalu.

    Lulusan Makkah dan Madinah pula, ada yang berasa diri paling hebat kerana mengaji di tanah Rasul tercinta, terutaman apabila kebanyakan mereka menikmati biasiswa mewah daripada kerajaan Arab Saudi selepas berjaya melepasi proses temu duga yang dikenakan.

    Lulusan Jordan pula, ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti disebabkan pengajian mereka tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa ‘Arab fushah’ serta pelbagai alasan lagi diberikan.

    Sebahagian lulusan Yaman pula berasa mereka lebih ‘faqih’ dan faham berbanding yang lain dan sebahagian lulusan Pakistan berasa mereka lebih pakar di bidang hadis daripada yang lainnya.

    Yang pasti, perbezaan pendapat ini berterusan dan sukar mencari penghujung.
    Padahal, guru dan tempat belajar hanya sebab luaran kepada perolehan ilmu. Yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.

    Hakikatnya, hal ini bukan saja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanah air kita, malah di kalangan ulama Arab yang kadangkala memandang rendah satu sama lain.

    Ini terbukti apabila beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.

    Jadi, apabila masing-masing berasa diri lebih hebat, berlakulah pertembungan hujah.

    Dimulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi dan akhirnya melupakan akhlak-akhlak terpuji yang seterusnya memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.

    Ukhuwah di kalangan golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatutnya dicontohi menjadi sebaliknya, yang dicemari oleh mereka lidah mereka sendiri.

    Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘menghentam’ individu lain dan memperlekehkan mereka.

    Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru akhirnya makin jauh, makin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain.

    Jadi, adakah ini fungsi lulusan agama? Menghentam pihak lain, dan bukan sama- sama mencari penyelesaian dan merungkai kebenaran yang hakiki.

    Gejala label-melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label ‘wahabi’ dan ‘ahbash’ dan banyak lagi sering digunakan. Kelihatan seolah-olah tiada siapa boleh melunakkan pihak ini kecuali jika dapat ditampilkan seseorang yang mereka semua yakin dan hormat. 

    Denda lewat bayar

    BOLEHKAH ustaz jelaskan, adakah denda yang dikenakan oleh bank Islam terhadap peminjam kerana terlewat membuat pembayaran pinjaman itu dikira sebagai riba?
    Dalam praktis perbankan Islam yang mengenakan sejumlah wang sebagai denda itu sebenarnya adalah dianggap bayaran kos rugi (ta’widh atau ‘compensation’) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang dijanjikan.

    Pelanggan perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.
    Ganti rugi atau ‘compensation’ yang dikenakan oleh Bank Islam terhasil daripada proses jual-beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.

    Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani’, Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan, dan Fatwa Persidangan Dallah Al-Barakah, ia adalah harus.

    Keharusan ini berdasarkan ‘Maslahat Mursalat’ dan tindakan mengenakan ganti rugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermain-mainkan bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang.
    Ini dinamakan ‘Mumatil’ yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai: “Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al-Bukhari, 2167, 2/799) Justeru, pada ketika zaman lemahnya amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank Islam dan juga pemiutang, jika bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta’widh (ganti rugi) akan dikenakan.

    Sebahagian ulama mengharuskan jumlah ganti rugi ini digunakan oleh bank dengan syarat ia adalah jumlah sebenar kerugian.
    Sebarang wang lebih daripada kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank Islam.

    Manakala sebahagian besar ulama lain berpendapat, ta’widh yang dikenakan oleh bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah diagihkan untuk tujuan kebajikan kepada kumpulan fakir miskin saja.

    Ini yang dilakukan oleh kebanyakan bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad.

    Saya hanya menyebut nama ini kerana saya tidak mengetahui kaedah yang digunakan bank Islam lain.

    Bagi bank Islam yang saya sebutkan namanya, mereka lebih cenderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia.

    Konsep yang digunakan adalah konsep sedekahkan duit (ta’widh) kepada fakir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru’ yang disebut di dalam kitab Fiqh Mazhab Maliki.

    Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen iaitu jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang dipersetujui, ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.

    Bagaimanapun, tidak dinafikan ada beberapa institusi perbankan Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan wang ta’widh kepada fakir miskin saja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka.

    Perkara ini mungkin disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing dan selesai dengan ijtihad (niat) majlis penasihat masing-masing.

    Berkenaan pertanyaan ‘siapa yang memantau’, jawapannya, di kebanyakan institusi perbankan Islam, Jabatan Syariah dan Majlis Penasihat Syariah yang akan memantau.

    Malah keputusan Majlis Penasihat Syariah juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini.

    Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta’widh akan terus masuk ke akaun khas ‘charity’ (kebajikan).

    Ia pula tidak boleh disalurkan kepada ‘kebajikan’ kecuali setelah disahkan layak oleh Majlis Penasihat Syariah.

    Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan ‘kronisme’ dalam pembahagian dan inilah yang dilakukan di Asian Finance Bank (Qatar Islamic Bank Malaysia).

    Kesimpulannya, isu ini sudah dibawa ke persidangan Fiqh Malaysia dan Sedunia, malah keputusannya bagi menyekat kecuaian sengaja ini, diharuskan mengenakan denda ta’widh dengan syarat ia hanya satu peratus dan tidak bersifat ‘compounding’.

    Pembaca perlu faham penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah compounding, di mana penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman.

    Jika peminjam gagal membuat pembayaran lagi dan dikenakan penalti seterusnya, jumlah peratusan penalti itu kemudian akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal penalti.

    Ini jelas zalim dan menindas berbanding kos ganti rugi yang dikenakan oleh institusi perbankan Islam dalam menjamin supaya perjanjian yang dibuat antara peminjam dapat dipenuhi.

    Syarat harga tinggi

    RAMAI bertanya sama ada wujud dalil khusus yang mengehadkan keuntungan halal dalam transaksi jual-beli. Merujuk kepada soalan ini, jawapannya ringkas tiada dalil atau nas khusus yang melarang kadar untung tidak melebihi had tertentu daripada jumlah modal terhadap barangan itu.
    Ini kerana jika ada, penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi itu daripada memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli. 
    Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.

    Justeru, harga ditawarkan hendaklah perlu mengikut beberapa terma iaitu harga diletakkan itu diterima dalam pasaran.

    Namun, jika ia mahu keluar daripada senarai kebiasaan harga pasaran, ia mestilah mempunyai ‘nilai tambah’ terhadap kualiti barangan itu.

    Sebagai contoh, harga pasaran bagi jualan rumah berangkai tiga bilik bernilai RM250,000. Namun, pemilik menjualnya pada kadar harga RM400,000 berikutan sudah melakukan pengubahsuaian dalaman yang sememangnya menambah nilai rumah itu.

    Selain itu, harga ditawarkan itu mestilah tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang diletakkan bukan untuk jual-beli, sebaliknya dibuat untuk memberi kesan kepada harga pasaran semasa).

    Jika berdasarkan situasi diatas, harga jualannya yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran rumah sejenis adalah halal disebabkan perbezaan dan nilai tambah yang diusahakannya.

    Hasil usaha serta modal itulah yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.

    Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan media satu ketika dulu, berkenaan harga sepinggan nasi dagang yang mencecah RM45 (jika tidak silap saya).

    Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran sepinggan nasi dagang, namun jika berjaya dibuktikan nasi dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti harga ikan yang digunakan, minyak Zaitun atau apa juga yang lain, nilainya itu adalah harus dan halal.

    Namun jika ia tidak sepadan dengan harga pasaran, ia menjadi sebaliknya.
    Jelas di sini, jika sesuatu barangan dimiliki mempunyai ciri khas istimewa, atau ditambahkan ciri-ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.

    Ini berbeza bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanya nilai tambah yang kecil seperti rumah teres tadi hanya dicat baru. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi daripada harga pasaran.

    Bagi aset atau barang yang tiada perbezaan tambah nilai, ulama memberi pendapat berbeza, di mana ada yang membenarkan tidak lebih satu perenam daripada harga pasaran dan ada pula yang meletakkan satu pertiga (pandangan ulama Maliki).

    Bagaimanapun, menurut analisis terkini oleh Syeikh Prof Dr Muyi din AL-Qurrah Daghi, pandangan terkuat dalam hal ini adalah terserah kepada suasana setempat. Ini bermakna, semua kadar diberi tadi tidak disokong oleh dalil khusus.

    Jadi, adakah seseorang itu boleh menentukan sendiri harga pasarannya berdasarkan suasana setempat itu?

    Berdasarkan situasi ini, seseorang itu boleh menentukan harga barangan berkenaan dan diikuti oleh pihak lain hingga diterima sebagai harga pasaran.

    Namun perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, seseorang itu perlu mempunyai beberapa ciri tertentu iaitu:

    1. Sebuah syarikat besar yang mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat lain.

    2. Terikat dengan kepakaran menilai atau ‘evaluation’ harga kualiti khidmat ditawar atau barang dijual supaya ia bertepatan dengan ‘Thaman al-Mithl’ (harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang).

    Justeru, jika anda meningkatkan harga melambung tinggi tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini, sekali gus akan menghapuskan kewibawaan anda sendiri.

    Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, anda sebenarnya masih terikat dengan proses penentuan harga lain seperti berikut iaitu permintaan dan tawaran, kesukaran memperolehnya, jenis barangan sama ada daripada jenis asasi atau tidak, urusan jualan membabitkan hutang atau tunai, jenis transaksi dan jenis mata wang digunakan.

    Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga dan hal ini sering diutarakan dalam perbincangan ekonomi Islam selain pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah.

    Bagi yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati syariah), berikut dinyatakan harus mengambil untung lebih daripada 100 peratus asalkan ia mengikut panduan hadis.

    Hadis riwayat Al-Bukhari, menyatakan bahawasanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberi Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung.”

    Hadis ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, kemudian menjualnya dengan harga 100 peratus keuntungan iaitu satu dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh Rasulullah SAW, malah dipuji dan didoakan sahabatnya itu.

    Namun jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha menaikkan harga secara tidak sihat seperti menyorokkan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli mengenai harga pasaran atau lain-lain kezaliman, harga tinggi tadi menjadi haram.

    Dalam urusan perbankan Islam yang menjalankan transaksi jual-beli (sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah atau Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya, memang kelihatan jumlah yang perlu dibayar oleh peminjam sehingga tamat tempoh pinjaman akan melebihi jumlah pinjaman dibuat.

    Sebagai contoh, jika pembiayaan RM200,000 dan jumlah yang perlu dibayar oleh pelanggan dalam tempoh 25 tahun yang dihitung menjadi RM400,000, hukumnya harus dan halal.

    Ini kerana, ia berdasarkan harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25 hingga 30 tahun.

    Buktinya, nilai itu tetap akan dibayar seseorang pelanggan dalam tempoh berkenaan walaupun dengan menggunakan khidmat perbankan lain, termasuk bank konvensional, selain nilai pasarannya yang sentiasa meningkat setiap tahun.

    Jadi, semestinya kita tidak ingin bank menjadikan jangkaan harga hartanah itu selepas 25 tahun sebagai harga pasaran.

    Hakikatnya, nilai harga yang ingin ditawarkan kepada pelanggan ditentukan dengan cermat dan berhati- hati oleh bank dan bukan merujuk kepada harga aset dalam tempoh akan datang.

    Sebaliknya, ia membabitkan pelbagai aspek kos mengurus minimum (cost of fund) selain merujuk kepada kadar faedah semalam yang ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

    Itu berdasarkan nilai hartanah, jadi bagaimana pula dengan nilai sesuatu barangan seperti kereta yang akan menurun mengikut masa.

    Sudah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang biasanya tidak dilihat sangat oleh bank kerana mereka lebih terikat dengan kadar faedah yang dikeluarkan BNM dan ‘Cost of Fund’ bank terbabit.

    Justeru, harga pasarannya melihat kepada harga tawaran oleh bank lain, termasuk bank konvensional.

    Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya dikenakan satu peratus penalti tanpa ‘compounding’ berbanding tiga hingga lima peratus penalti bagi bank konvensional yang bersifat ‘compounding’.

    Kesimpulannya, itulah harga pasaran sebenarnya dan ia masih dalam harga pasaran.

    Saya juga berharap ia lebih murah kerana saya juga pelanggan. Namun saya terpaksa akur dengan harga yang ada di depan mata kerana ia masih dalam ruang lingkup harus menurut syariah.

    Harta jumpa kena serah

    SUDAH jatuh ditimpa tangga, itu yang boleh dikatakan kepada pemilik wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas, baru-baru ini.
    Walaupun kejadian berlaku dua minggu lalu, masih belum terlambat untuk dihuraikan mengenai hukum Islam atas insiden berkenaan.

    Berdasarkan laporan akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong mengutip dan mengembalikan wang yang bertaburan itu, sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.
    Tentunya penghargaan wajar diberi kepada mereka yang datang membantu tetapi bagi yang mengambil kesempatan melarikan wang terbabit, kejadian seperti ini sangat mendukacitakan dan jelas memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.

    Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan sampai satu zaman di mana manusia tidak lagi menghiraukan daripada sumber mana diperoleh hartanya, sama ada daripada yang halal atau yang haram.” (Riwayat Al-Bukhari) Lebih teruk daripada itu, tiada lagi rasa ‘malu’ dan hiraukan kecederaan tuan punya wang yang berada di tempat sama.

    Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan diri sehingga dilaporkan ada yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga akhirnya pihak berkuasa terpaksa menutup laluan bagi memastikan tiada kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.
    Dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik, tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu.

    Harta yang ditemui tanpa diketahui pemilik dinamakan ‘Luqatah’ di dalam ilmu Fiqh Islam.
    Rasulullah SAW menyatakan bahawasanya: “Barang siapa menjumpai sesuatu harta, wajiblah dia memaklumkannya (bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya.

    “Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya, wajib dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi dikira milik Allah SWT dan boleh disedekahkan kepada sesiapa yang diingini.” (Riwayat Abu Daud) Imam Al-Khattabi menghuraikan, ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemiliknya dalam tempoh satu tahun. (Aunul Ma’bud, 101) Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi perbincangannya dalam mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat betapa Islam mengajar umatnya supaya sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa juga harta yang diterima.

    Malah yang dijumpai pun belum tentu boleh dimanfaatkan, apatah lagi untuk menganggap ia sebagai ‘rezeki terpijak’ atau ‘durian runtuh’.

    Jika demikian disiplin Islam dalam hal harta yang dijumpai, tentulah Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri, merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang diketahui tuannya dalam kesakitan.

    Sebenarnya keadaan ‘mengambil kesempatan’ di atas sesuatu musibah dan kemalangan bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media massa.

    Ada yang mengambil kesempatan mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalkan ketika kebakaran, gempa bumi dan sepertinya.

    Teringat pernah diwartakan satu ketika dulu, bagaimana mangsa yang cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan barangan berharga mereka di dalam kenderaan.

    Semuanya dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas polis untuk mengenal mangsa.

    Tidak kurang juga yang merompak ketika demonstrasi dan yang lebih teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah ibu bapa mangsa. Begitu buruknya sifat dan sikap manusia seperti ini.

    Gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini.

    Sikap tidak amanah apabila berdepan peluang mendapat wang dan peluang mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam hati mangsa.

    Disebabkan sifat sebegini, rasuah masih gagal dihentikan, pembabitan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mencari mangsa.

    Semuanya disebabkan sifat kerakusan, malas mengkaji dan tanpa ilmu yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan kononnya cara mudah.

    Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa.

    Merampas dan meragut sememangnya satu dosa, namun apabila ia dilakukan ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalan raya atau kemusnahan di dalam rumah, dosa penjenayah terbabit berganda.

    Malah, kehinaan ‘golongan’ ini di sisi Allah SWT turut berganda.

    Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti ketika peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang benar-benar sukar.

    Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya memberi waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan menjerut leher mereka dengan menambah hutang dengan caj penalti yang membebankan.

    Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan pengharamannya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam tindakan itu.

    Justeru, saya ingin menasihatkan individu yang mengutip dan melarikan wang tercicir dalam kemalangan di lebuh raya itu supaya segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya walau ia bernilai beberapa ringgit.

    Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang daripada kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali.” (Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud) Rasulullah SAW juga mengingatkan: “Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya.” (Riwayat Ahmad) Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi satu beban di dalam kuburan kelak. Ia jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang dinyatakan di atas.

    Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan yang berlaku itu hanya sebagai contoh kepada semua jenis insiden kemalangan yang lain.

    Paling nyata, masyarakat kita perlu diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

    Walaupun sekali pandang kes ini kelihatan kecil dan remeh, hakikatnya ia adalah besar kerana mencerminkan sikap masyarakat kita yang ‘gersang’ daripada pengisian rohani dan etika sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang.

    Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu pelan terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika masyarakat.

    Tidak dinafikan, ia juga mungkin manifestasi betapa terdesaknya masyarakat ketika menghadapi tekanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat dewasa ini, sekali gus boleh mengakibatkan seseorang bertindak seperti hilang akal.

    Bagaimanapun, lebih membimbangkan ia sebenarnya melambangkan sikap pentingkan diri begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan.

    Jika demikian sikap mereka terhadap duit beberapa sen dan ringgit saja, bayangkan jika di depan mereka adalah wang lebih besar.

    Asas boleh hutang

    Pergi ke bank riba kerana permohonan di bank Islam ditolak
    INI mungkin satu lagi rungutan umat Islam di Malaysia. Mereka berhujah mengatakan permohonan untuk mendapatkan pembiayaan rumah, kereta atau kad kredit Islam ditolak bank Islam, lalu ia dijadikan asbab mengapa Muslim kurang di bank Islam dan lebih ramai di bank riba. 
    Hal ini pernah saya ulas sebelum ini. Boleh merujuk kepada artikel yang saya sertakan ‘link’nya di bawah untuk mengetahui sama ada sudah sampai tahap darurat untuk seorang Muslim bersenang-senang di bank riba atau ia hanya darurat dan hajiat palsu yang bertunjangkan nafsu dunia sebenarnya.

    Artikel: Wajarkah Bank Islam Tolak Permohonan? Kesimpulannya, jika bank Islam menolak sesuatu permohonan, ini bermakna; menurut kiraan berwibawa mereka, kemampuan kewangan anda masih tidak melayakkan anda untuk membuat hutang jenis besar dan berat.

    Jika anda masih degil lalu pergi juga ke bank riba dan kemudian diluluskan, sebenarnya anda memerangkap diri sendiri dan bakal menghadapi kesukaran berganda kerana jumlah faedah dikenakan bank riba kepada mereka yang tiada kelayakan kukuh, pasti menenggelamkan anda kelak.

    Falsafah bank di seluruh dunia, lebih kaya dan stabil kewangan anda, lebih murah kadar yang bakal anda peroleh, demikian sebaliknya.

    Jika anda katakan: “Saya ingin beli hanya aset asas dalam kehidupan saya, iaitu kereta atau rumah.”

    Jawabnya: Menurut kiraan individu berkelayakan di bank berbekalkan formula khas di bank Islam, mendapati satu daripada keputusan berikut:

    a) Anda belum layak untuk terbabit dalam hutang. Oleh itu, tangguh dulu untuk terbabit dengan sebarang bank. Cukup dengan menaiki kenderaan awam dan menyewa rumah buat sementara belum ada kemampuan. Atau usahakan cara sesuai tetapi jangan berhutang.

    Jika berdegil, anda sebenarnya membuka peluang besar untuk jatuh dalam dosa lain akibat gagal menyelesaikan hutang. Dosa yang berkait rapat dengan orang berhutang seperti menipu dan memalsukan janji begitu biasa bagi mereka yang terperangkap dalam hutang. Malah Nabi SAW juga memberi amaran berkenaannya.

    b) Anda memang layak pada asalnya tetapi akibat hutang di bank sedia ada, kelayakan anda terhakis pada waktu itu. Anda perlu faham kemampuan membayar hutang sedia ada melebihi hak kemampuan anda.

    Hasil daripada itu, bank Islam menolak permohonan anda demi kebaikan anda, bukan kerana sengaja enggan menolong anda. Atas asbab itu juga sudah saya tuliskan sebelum ini supaya jangan biarkan rekod anda merah di mana-mana bank kerana ia juga boleh menyebabkan permohonan anda ditolak.


    Tolak bank Islam kerana bank riba lebih mudah urusannya

    Jika sebabnya ialah sebagaimana dinyatakan di atas atau apa juga sebab seumpamanya, seperti cawangannya lebih banyak, mesin juruwang bank berkenaan meluas, mempunyai perbankan Internet, perjanjian kontraknya lebih mudah dan cepat dan servisnya lebih efisien.

    Sekali lagi, jika demikianlah sebab musababnya, ternyatalah begitu murah dan mudah iman individu ini untuk dijual dibeli dengan harta serta kemudahan dunia.

    Rapuh sekali keyakinannya terhadap dosa riba yang maha besar, sebesar pengisytiharan perang terhadap Allah dan Rasul-Nya, berzina sebanyak 36 kali dan kehilangan berkat dalam hidup.

    Saya tidak nafikan kelemahan perkhidmatan, kelembapan dan sebagainya memang wujud di kalangan bank Islam di Malaysia khususnya, namun kelemahan sebegini tidak mampu menjadi pelepas azab pedih Allah di barzakh dan akhirat tentunya. Juga tidak boleh dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada perbankan Islam.

    Lihat saja betapa peritnya perjuangan Nabi SAW dan sahabat serta ulama salafus soleh di kurun awal dulu. Adakah kesukaran dijadikan alasan untuk tidak berjuang menegakkan kalimah Islam di muka bumi?


    Tolak bank Islam kerana kakitangannya seksi

    Saya juga mendengar ada individu menolak dan mengutuk sesebuah bank Islam hanya kerana kakitangannya berpakaian seksi, buka aurat dan tidak kelihatan seperti Islam. Adakah layak sebuah bank Islam membiarkan kakitangannya sedemikian?
    “Amat buruk lagi memalukan nama Islam,” demikian cebik seorang ustaz di sebuah masjid.

    Tentu saya juga sentiasa menyokong dan berharap bank Islam di Malaysia khususnya, dapat mengenakan disiplin kod berpakaian yang menepati Islam terhadap kakitangan wanitanya.

    Namun, selain melihat pelaksanaan ideal dan terbaik, kita perlu meninjau ehwal semasa dan praktikaliti. Hakikatnya, pengurusan bank Islam dalam banyak keadaan terpaksa memilih sama ada mendapatkan kakitangan yang baik pakaiannya atau yang dinamik dan berilmu.

    Perlu diingat, tidak semua urusan teknikal di bank memerlukan seseorang yang memiliki ilmu Islam secara khusus, banyak bahagian memerlukan ilmu teknikal lain seperti audit, perundangan, teknologi maklumat dan strategi pemasaran.
    Individu dengan kepakaran ini biasanya tidak mempunyai ilmu Islam yang baik, malah ramai juga daripada kalangan bukan Islam.

    Hasilnya, di waktu ilmu perbankan dan kewangan Islam masih kekurangan tenaga kerja dan ‘human asset’, ternyata sesebuah bank Islam sukar mendapatkan mereka yang baik pakaiannya serta cemerlang kerja dan pengetahuannya.

    Tatkala itu bertembung dua kepentingan, iaitu memilih yang baik pakaiannya dengan kemampuan kerja yang kurang atau yang baik dan cemerlang dalam bekerja tetapi penampilan pakaian tidak baik. Yang manakah perlu diambil bekerja?

    Bagaimana dengan anda? Perlu diingat, tidak semua jawatan boleh ditunjuk ajar. Ada sebahagian jawatan tinggi seperti pengarah urusan, naib presiden, pengarah, ketua pegawai operasi, ketua pegawai eksekutif dan naib presiden kanan, dan jika jawatannya sekadar eksekutif, ia mungkin boleh bertoleransi dengan mengambil yang kurang kualiti tetapi berpakaian baik dan dilatih kemudiannya.

    Kemudian, adakah tepat bagi pengurusan memaksa kakitangan wanita, termasuk bukan Islam, menutup aurat di pejabat? Mungkin kita boleh mengangguk kepala sambil mengatakan: “Ya, memang wajar sekali, baru digelar pengurusan Islam!”

    Namun, sedarkah kita, tindakan sedemikian pasti membuatkan individu bukan Muslim yang pakar enggan memohon bekerja di bank Islam sedemikian.

    Tanpa merit dan kualiti, sebuah bank Islam akan hilang wibawa, kemampuan dan keberkesanan, manakala pengurusan juga pasti jatuh hingga akhirnya, imej Islam turut jatuh merudum.

    Mungkin ada yang terfikir, jika kakitangan kita bertakwa, Allah akan gandakan keuntungan. Yakinlah.

    Ya, benar tetapi keperluan meningkatkan kualiti dalam usaha dan hukum alam (iaitu kualiti akan berjaya, mereka yang tidak berkualiti akan jatuh) juga adalah perintah Allah dan ajaran Islam.

    Lihat bagaimana nama Islam tercalar apabila dua bank Islam di Malaysia mencatat kerugian beberapa ratus juta beberapa tahun lalu.

    Kita bimbang sistem dan produk kewangan Islam akan dipersalahkan dan dilihat tidak sesuai untuk dunia perbankan, hasilnya akan berkurangan permintaan, padahal masalah kerugian sesebuah bank Islam bukan salah produk dan Islam tetapi kualiti dan kecekapan individu yang bekerja.

    Jika memahami hal ini, manakah maslahat yang lebih besar patut dijaga oleh sesebuah bank Islam dalam pengambilan pekerjanya? Pakaian menutup aurat bagi setiap wanita yang memohon atau kualiti ilmu bagi jawatan dimohon?

    Ya, kedua-duanya penting, namun mana lebih penting? Taqdim al-aham ‘alal muhim dan juga kaedah:

    Ertinya: Mengambil mudarat yang lebih kecil.

    Kaedah yang difahami ulama Islam daripada firman Allah SWT:

    Ertinya: Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. (Al-Baqarah: 219)

    Akhirnya, menjadi kewajipan kita sebagai Muslim untuk melanggan bank Islam dan segala jenis produk kewangan Islam.

    Jadikan keperluan ini didasari oleh iman dan takwa. Letakkan faktor halal sebagai asas penilaian dan bukan hanya harga dan kadar.

    Lebih malang, kerana ramai individu tiada kefahaman dalam kiraan bank riba yang disangkanya murah. Sedarlah hakikatnya.

    Usah tolak buta tuli

    DALAM praktis perbankan Islam masa kini, secara jelas boleh dinyatakan bahawa 70 peratus pelanggan yang menggunakan khidmat perbankan Islam di beberapa bank tempatan di negara kita adalah pelanggan yang bukan beragama Islam.
    Malah statistik yang hampir sama juga pernah dikeluarkan oleh bank-bank Islam lainnya yang menyatakan kebanyakan pelanggan mereka adalah daripada pelanggan berbangsa Cina dan bukanlah pelanggan Melayu. 
    Jadi, mengapakah situasi itu berlaku. Mengapa pula ramai pelanggan bukan Islam yang memilih untuk menggunakan khidmat perbankan Islam?

    Pastinya ada segelintir akan menyatakan bahawa kumpulan itu lebih banyak terbabit dalam urusan perniagaan dan kerana itulah mereka lebih kerap berurusan dengan bank.

    Mungkin ada benarnya pandangan spontan ini, namun orang Cina yang disebut ini bukan hanya melanggan produk perbankan Islam berkaitan dengan pembiayaan korporat untuk perniagaan mereka saja, malah mereka juga menggunakannya untuk pembiayaan perumahan, kereta dan lain-lain produk.

    Jelas di sini, kesemua produk yang digunakan mereka ini tergolong dalam kategori produk perbankan pelanggan dan peruncitan yang bersifat sebagai kegunaan individu dan bukannya untuk tujuan perniagaan.

    Persoalannya, ke manakah perginya individu beragama Islam khususnya dalam negara kita yang majoritinya beragama Islam.

    Perlu diketahui, Islam menerima segala yang baik walaupun ia diperkenalkan oleh kumpulan penjahat seperti Yahudi selagi mana ia boleh diubahsuai bagi manfaat umat Islam.

    Demikian kesimpulan berasaskan nas ayat Al-Quran dan hadis yang dihuraikan oleh para ulama silam dan kontemporari.

    Dalil ini dapat dilihat menerusi jawapan Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah yang menerima satu ilmu dari Syaitan Ifrit, yang bermaksud: “Ia (Syaitan) itu telah berkata benar, walaupun ia adalah maha pendusta, itulah dia Syaitan. (Riwayat Al-Bukhari)

    Pengajaran daripada hadis membuktikan apa saja yang sampai kepada kita oleh sebarang sumber yang bukan Islam khususnya, boleh disemak menurut neraca Islam. Jika tidak bercanggah dan boleh membawa kebaikan, kita sepatutnya menyokong dan bukan menentang secara buta.

    Jika benarlah terdapat mereka yang menolak perbankan Islam hanya kerana ia adalah anjuran dan dimulakan oleh pihak kerajaan yang berlainan dengan partinya, maka ia adalah satu sikap yang patut dikesali.

    Sering saya sebutkan dulu bahawa perbankan Islam di Malaysia berkait rapat dengan perbankan Islam di seluruh dunia. Ulama Malaysia yang berdamping dengan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia serta mengatur arahnya pula bukanlah kalangan individu yang terbabit dengan dunia politik dan jika ada sekalipun, mereka tidak berpengaruh dalam penentuan hala tuju dan fatwa berkaitan kewangan Islam ini.

    Selain itu, melalui hubungan rapat industri kewangan Islam di seluruh dunia, Malaysia tidak boleh terlepas dari penilaian, kritikan membina dan perhatian ulama Syariah dan kewangan Islam di seluruh dunia.

    Hasilnya, kritikan membina ulama dunia ini membawa perkembangan baru dalam produk-produk kewangan Islam di Malaysia seperti wujudnya Komoditi Murabahah, konsep 'Unilateral Promise' dalam transaksi Forex, Tawarruq Masrafiy, Musharakah Mutanaqisah, Bai al-Mutaradif Bil Ajal dalam Forex, Parallel Istisna dan lain-lain.

    Kebanyakan produk, konsep dan kontrak produk Islam ini berlaku di luar pengaruh politik tempatan dan ia biasanya hanya berlaku hasil perbincangan ilmiah di kalangan ahli akademik non-partisan dan pengurus industri dari dalam dan luar negara.

    Adapun, beberapa produk dan konsep perbankan Islam di Malaysia seperti Bai al-Inah (jual dan beli semula) dan Bay ad-Dayn (Diskaun hutang perdagangan) yang tidak dipersetujui oleh ulama antarabangsa, tetapi diluluskan oleh kumpulan Ilmuan Syariah Malaysia memang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan politik.

    Namun ia dibuat secara sementara dan berdasarkan pertimbangan akademik dan hukum. Sejauh manapun kita tidak menyetujuinya, ia tetap termasuk dalam keputusan akademik dan bukannya fatwa politik.

    Namun boleh saya katakan ia tidak berkait dengan produk-produk perbankan Islam yang diperkenalkan oleh bank-bank Islam.

    Tolak atas dasar lebih mahal
    Ini juga satu persoalan yang amat kerap ditimbulkan sejak dulu tetapi yang nyata, persoalan serta jawapan ini timbul kerana ramai yang tidak mengetahui lebih lanjut mengenai konsep perkhidmatan yang ditawarkan itu.

    Mereka yang membuat dakwaan ini sebenarnya membuat perbandingan terhadap dua perkara yang memang tak boleh dibandingkan.

    Selain itu, mereka juga tidak memahami cara kiraan kedua-dua sistem antara perbankan Islam dan konvensional, tidak memahami apa itu pecahan kadar bunga akibat pembayaran yang lambat, tidak mengetahui kadar pinjaman dasar dan sifatnya serta memang tidak memahami konsep 'ibra' dan syarat pelaksanaannya dalam Islam.

    Jadi, apabila ada orang bercakap hal ini namun gagal memahami perkara asas, mereka sebenarnya sedang membuat fitnah kepada Perbankan dan Kewangan Islam sekali gus menunjukkan kecetekan ilmunya berkaitan hal perbankan.

    Riba Al-Qardh popular

    RIBA Al-Qardh adalah kadar atau manfaat tambahan yang melebihi jumlah pinjaman pokok berdasarkan kontrak pinjaman awal yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam.
    Riba jenis ini boleh dikira paling popular digunakan di kalangan masyarakat kita hari ini dan boleh dipecahkan kepada beberapa bentuk.

    Antaranya, duit berbalas duit yang lebih banyak nilainya atau lebih tepat lagi, pinjaman berbentuk kewangan yang perlu dibayar melebihi nilai yang dipinjam seseorang.
    Sebagai contoh, Ali meminjamkan Ahmad wang sebanyak RM2,000, dengan syarat membayar kembali dengan nilai lebih besar seperti RM2,500 dalam masa tiga bulan.

    Sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan nilai ketika pembayaran semula dalam tempoh waktu itu adalah riba al-Qardh.

    Ini adalah daripada jenis riba dalam kategori nilai kewangan berdasarkan faktor masa atau ‘time value of money’ yang diharamkan di dalam Islam.
    Konsep ‘time value of money’ adalah satu nilai kewangan hari ini bernilai lebih pada masa depan.

    Ini kerana, jika setiap RM1 digunakan sebagai perumpamaan, ia mungkin boleh dilaburkan untuk mendapatkan pulangan keuntungan. (Corporate Finance: Theory and Practice, Aswath Damodaran, John Wiley and Sons, New York, USA, 2001) Bagaimanapun, jika Ahmad memulangkan wang dengan nilai tambah (nilai lebih daripada pinjaman) tanpa sebarang paksaan atau syarat oleh Ali pada awal perjanjian, pinjaman dibuat sepanjang tempoh pinjaman adalah halal lagi terpuji di sisi Islam.
    Hal ini pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila baginda membelikan unta yang lebih baik daripada apa yang dipinjam oleh baginda dengan meminta sahabat itu tadi membeli seekor unta yang lebih baik lalu berkata: “Sebaik-sebaik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik.” (Riwayat Al-Bukhari) Namun begitu, hukum haram masih berlaku jika peminjam, iaitu Ahmad walaupun dengan sukarela menawarkan pembayaran semula (repayment) dengan nilai tambah.

    Ini kerana Islam tidak menerima campur tangan reda manusia dalam hukum yang berkaitan dengan hak Allah SWT.

    Hukuman riba tergolong dalam kategori hak Allah SWT. Justeru, walaupun ditawar oleh peminjam dengan keredaan dirinya, hukum haram adalah tetap serupa, sama ada nilai tambah disyaratkan oleh pemberi pinjam atau peminjam, kedua-duanya adalah riba yang diharamkan.

    Contoh riba Al-Qardh kedua pula adalah pinjaman berbentuk kewangan yang perlu dibayar bersama-sama sesuatu manfaat lainnya.

    Sebagai contoh, pemberi pinjaman, Kamil memberi pinjaman RM1,000 kepada Hasan untuk tempoh lima bulan. Namun, sebagai balasan, Kamil mensyaratkan Hasan membantunya menyiapkan tugasannya.

    Dalam contoh di atas, bantuan menyiapkan tugasan itu dikira riba kerana tergolong di dalam manfaat lebih yang diraih hasil pemberian pinjaman.

    Ia diharamkan oleh Islam kerana ia jelas tindakan menindas yang mengambil kesempatan di atas bantuan pinjaman diberi walaupun tiada jumlah tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan sebagai bayaran semula.

    Riba Al-Qardh ketiga pula adalah manfaat berbalas manfaat yang lebih. (bukan dalam bentuk nilai kewangan) Contoh riba jenis ini adalah apabila pemberi pinjaman, Hasan memberi pinjam keretanya kepada Yusuf dengan syarat dia perlu memulangkan kereta itu dengan tangki minyak penuh, padahal ketika pinjaman dilakukan, tangki minyak kereta tidak penuh.

    Dalam contoh ini, riba berlaku kerana ia tergolong di dalam hadis pinjaman yang termasuk pulangan lebih yang disyaratkan.

    Ia juga tergolong di dalam ‘ijma’ yang disebutkan oleh Ibn Qudamah, kerana manfaat kegunaan kereta dibalas dengan satu manfaat lain yang berbeza dan melebihi manfaat pinjaman itu tadi.

    Dalam kes ini, jika pemberi pinjam ingin memperoleh sesuatu keuntungan seperti disebut di atas, dia tidak boleh menggunakan kontrak ‘pinjam’ ketika memberi keretanya, sebaliknya ia mesti menggunakan kontrak ‘sewa’ dengan nilai sewa, setangki penuh minyak.

    Melalui cara itu, transaksi dan keuntungan yang diperoleh adalah halal.

    Mungkin ada yang keliru disebabkan hasil dan akibat bagi kedua-dua transaksi kelihatan sama, walaupun demikian, ia berbeza di sisi Allah SWT.

    Ini kerana pemberian pinjaman wang atau manfaat aset yang tidak dikenakan sebarang upah dan tidak diambil peluang meraih sesuatu manfaat bersifat material akan melayakkan pemberi pinjam untuk menerima gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda bergantung kepada tahap keikhlasannya.

    Sejurus kontrak ditukar kepada ‘sewa’, ganjaran sedemikian tidak lagi diperoleh oleh pemilik, sebagai gantinya pemilik menerima habuan di dunia berbanding habuan akhirat.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada malam aku pergi ke syurga (ketika Israk Mi’raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, “Setiap sumbangan sedekah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali,” lalu aku bertanya: “Wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulia daripada sedekah?” “Jawab Jibrail: Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki (mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan.” (Riwayat oleh Ibn Majah) Al-Jassas menerusi kitab yang ditulis iaitu Ahkam al-Quran menyebut: “Allah menamakannya sebagai qardh (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qardh, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya.” Contoh riba Al-Qardh yang boleh terjadi pula adalah, hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak.

    Riba ini terjadi apabila seseorang individu atau dinamakan sebagai Kamil menghadiahkan wang berjumlah RM100 kepada Hasan dengan syarat dia perlu menghadiahkan Kamil wang sebanyak RM120 bulan depan.

    Pemberian ini termasuk di dalam kategori riba Al-Qardh dan tergolong di dalam kategori pemberian pinjam walaupun menggunakan lafaz hadiah.

    Penggunaan helah menukar lafaz dan nama tidak mampu mengubah ‘substance’ atau rangka asas kontrak yang sememangnya adalah pinjaman berserta faedah.

    Contoh lain riba Al-Qardh pula adalah apabila hadiah yang diberi bersyarat atau dibayar juga dengan hadiah.

    Hal ini boleh berlaku dalam situasi apabila pengantin lelaki dan wanita bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir dengan tujuh dulang hantaran bernilai RM10,000 manakala pihak wanita bersetuju dengan balasan sembilan dulang bernilai RM13,000.

    Dalam konteks ini, masih berlaku syubhah riba Al-Qardh jika kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga tertentu iaitu RM10,000 berbalas RM13,000.

    Namun, jika kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga dan hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, ia adalah harus.

    Yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.

    Berdosa pamer jenama haram

    SEBAGAI peminat sukan bola sepak, sudah menjadi lumrah bagi seseorang itu untuk meminati sesebuah pasukan, khususnya dari Eropah.
    Sebagaimana maklum, kerana minat itu juga, ramai sanggup memiliki serta mendapatkan setidak-tidaknya jersi yang digunakan pasukan mereka sama ada yang tiruan mahupun asli. 
    Namun, dalam menzahirkan perasaan minat terhadap pasukan yang disokong, ramai ‘mengaburkan’ mata hingga sanggup memakai dan menggunakan jersi pasukan yang sebenarnya turut memaparkan pelbagai logo bertemakan salib atau gambar seperti syaitan.

    Jadi, sebagai orang yang beragama Islam, saya ingin mengetahui, apakah hukum pemakaian jersi berkenaan dan jika benar ia dilarang, adakah dalil mengenainya.
    Ini kerana, berdasarkan perbualan bersama rakan, mereka mengatakan pemakaian jersi yang memaparkan lambang atau logo syaitan atau berbentuk salib adalah dibolehkan, cuma tidak boleh mengagungkan lambang berkenaan. 
    Menjawab persoalan ini, perlu diketahui bahawa pemakaian atau penggunaan lambang berbentuk syaitan atau yang memaparkan imej salib memang tidak dibolehkan bagi seorang Muslim.

    Ini kerana, seseorang yang beragama Islam tidak dibenar mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam.

    Dalil larangan ini juga mudah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.” (Al-Maidah, 2)

    Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan memberi apa juga bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal-ehwal yang bertentangan dengan akidah dan hukum Islam.

    Ini dinyatakan olehnya dalam hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit.”

    Dalam isu pemakaian pakaian atau jersi pasukan bola sepak yang diminati, seseorang itu perlu mengetahui dan meneliti lambang serta logo yang tertera adakah ia memang dizahirkan oleh pihak pasukan itu sebagai lambang salib atau bukan.

    Jika ia bukan lambang salib tetapi dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri yang membayangkannya, tiada masalah untuk mengguna serta memakainya.

    Dalam hal ini, contoh terdekat adalah seperti logo kenderaan jenama Chevrolet yang mungkin boleh membuatkan seseorang itu berimaginasi ia adalah lambang salib tetapi pada masa sama individu lain pula berasakan sebaliknya.

    Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta itu bukan salib.

    Menyentuh mengenai minat terhadap bola sepak, sudah diketahui memang ramai antara kita meminati pasukan Manchester United hinggakan bukan saja sanggup memakai pakaian pasukan mereka, sebaliknya kerana minat juga, mereka mengagungkan logo pasukan itu dengan menampalnya di cermin kereta dan sebagainya.

    Realitinya, Manchester United memang menggunakan lambang yang sinonim dengan bentuk syaitan sebagaimana lambang itu dikenali sebagai ‘Red Devil’ atau syaitan merah yang merujuk kepada pasukan berkenaan.

    Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk syaitan sebenarnya, namun apabila manusia membuat imaginasi tersendiri mengenai bentuk syaitan, menamakannya sebagai ‘devil’ dan diterima umum sebagai satu lambang yang menjadi kemegahan, tatkala itu lambang ‘Red Devil’ yang berada di logo Manchester United juga termasuk dalam kategori tidak dibolehkan.

    Logo ini memang tidak boleh digunakan, diiklankan atau disiarkan oleh seseorang Muslim sama ada untuk ditampal di dinding mahupun digunakan pada pakaian.

    Justeru, apa-apa logo jika diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan dan dihiasi amalan dan perbuatan yang menyanjung kejahatan atau syaitan, ia haram digunakan.

    Bagaimanapun, jika imej syaitan lebih membawa kepada hal bola sepak dan bukan lambang kepada perlakuan jahat dan maksiat, tatkala itu ia masih boleh digunakan.

    Begitu juga jika ada individu tertentu berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya daripada mengakui ia sebuah lambang syaitan dan kekal berasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu boleh dan diharuskan baginya untuk memakainya.

    Namun, perlu diberi perhatian, jika lambang itu boleh menimbulkan fitnah di kalangan individu lain yang melihatnya hinggakan pemakainya dianggap menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum ‘harus’ itu akan berubah kepada ‘makruh’.

    Dalam hal penggunaan lambang atau logo ‘Red Devil’, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat.

    Cara terbaik, sudah tentulah menjauhinya kerana ia mampu mewujudkan rasa ‘syubhah’.

    Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah SWT tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya.

    Jika berminat sekalipun, cukup setakat menyokong pasukan itu dalam perlawanan mereka tanpa perlu membabitkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi serta barang berserta logo sedemikian.

    Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg, adalah muktamad hukumnya haram menurut hukum Islam berdasarkan dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.

    Pengharaman juga adalah muktamad bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank konvensional yang menawarkan produk riba.

    Umat Islam dilarang sama sekali secara sepakat ulama, mempromosikan mana-mana bank konvensional kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah SWT serta Rasul-Nya serta ia juga sama seperti seseorang itu berzina sebanyak 36 kali.

    Hal ini juga disentuh oleh ulama terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menjelaskan: “dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi atau sebagai perhiasan.”

    Jadi, kenyataan ini menjelaskan apabila seseorang itu menjadikan ia perhiasan sama ada di rumah atau pakaian untuk dipertontonkan, ia sebenarnya satu cara serta bentuk pengagungan terhadap lambang itu.

    Maka, hukum memakai baju yang memaparkan lambang salib secara jelas dan berlogo apa-apa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan.

    Manakala hukum memakai pakaian yang berlogo Red Devil adalah di antara harus dan makruh sebagaimana dinyatakan tadi.

    Namun, jika ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram dan serta-merta tidak boleh dipakai Umat Islam.